H1N1 Dah Sampai ke UPM Pulak Dah
July 28th, 2009 | 11:53 pm | Admin, Nasional | 888 views | No response
Wabak H1N1 atau bahasa pasarnya dipanggil selsema babi (..dan saya suka dengan sebutan orang Terengganu yang mungkin menyebut H Wang N Wang.) nampaknya mula menular di kalangan masyarakat Malaysia, dan komuniti yang paling mudah terdedah dengan wabak maut ini adalah di kalangan komuniti pelajar khususnya yang terdedah pergaulan hariannya. Kesannya saya juga telah turut terlibat dalam H1N1, walaupun bukan sebagai pengidap tetapi terpaksa cuti semester awal berikutan 4 daripada penuntut di universiti tempat saya belajar telah disahkan positif H1N1.
Berikut merupakan berita terkini dari Bernama :
KUALA LUMPUR, 28 Julai (Bernama) — Cuti pertengahan semester Universiti Putra Malaysia (UPM) akan bermula esok, dua minggu lebih awal daripada yang dijadualkan bagi menangani wabak influenza A (H1N1) di kalangan warga universiti itu.
Bernama difahamkan setakat ini empat penuntut universiti itu disahkan positif H1N1 iaitu dua pelajar dikenakan tindakan kuarantin di kolej kediaman manakala dua lagi dikuarantin di rumah mereka. Bernama juga difahamkan jumlah itu mungkin meningkat kerana ujian makmal masih dijalankan terhadap beberapa sampel pelajar yang demam serta mengalami tanda-tanda penyakit itu.
Naib Canselor UPM Prof Datuk Dr Nik Mustapha R. Abdullah dalam kenyataan Selasa berkata langkah menetapkan cuti semester lebih awal yang bermula esok sehingga 4 Ogos itu dibuat atas nasihat Kementerian Kesihatan. “Cuti pertengahan semester pertama sessi 2009/2010 sepatut bermula 17 hingga 23 Ogos,” katanya.
Dr Nik Mustapha berkata ekoran itu semua aktiviti akademik dan aktiviti lain dalam universiti yang dirancang sepanjang tempoh penutupan itu dibatalkan.
Teringat pula sebuah artikel yang disiarkan dalam akhbar sinar Harian sebelum ini, Babi punya hal, Khinzir dapat nama. artikel berkenaan mengulas nama yang digunakan oleh pihak berwajib apabila bermulanya wabak ini di kesan di negara ini di mana ada sesetangah pihak menggunakan nama Selsema Babi manakala ada pula lebih gemar menggunakan perkataan Selsema Khinzir. Akhirnya WHO sebulat suara memutuskan untuk menggunakan istilah H1N1 dengan alasan mengelakkan kekeliruan dan menggunakan satu istilah standard di seluruh dunia.
Saya juga terkejut dengan berita menularnya wabak H1N1 di kampus UPM dan hanya mengetahui berita penutupan awal universiti melalui beberapa profesor yang ditemui, kebetulan tengah hari tadi saya berada di kampus untuk menyiapkan tugasan yang sepatutnya dihantar esok.
Maka kerja-kerja menyiapkan tugasan berkenaan juga turut bercuti bersama tuannya, kerana tidak dapat dihantar berikutan seluruh kampus bercuti. Dalam hati walaupun ada sedikit kelegaan memandangkan tugasan berkenaan masih belum siap lagi, namun di satu segi terfikir juga hebat betul penangan babi ni kepada umat manusia, macam-macam penyakit yang boleh disebarkan oleh binatang ini kepada manusia……hmm.














