Solat Penanda Aras Kekuatan Akhlak
April 24th, 2009 | 2:44 pm | Melayu, Muslim | 945 views | 3 responses
Petikan khutbah Jumaat bagi tarikh 24 april 2009 / 28 rabiul akhir 1430 Hijriah yang diterbitkan oleh JAKIM . Muslimin Yang Dirahmati Allah, Allah s.w.t. telah mewajibkan solat fardhu lima kali sehari semalam sebagai jadual Allah untuk memberi peluang kepada manusia mengingati dan tidak melupai-Nya. Apabila kita ingat, bererti kita sentiasa dekat kepada Allah s.w.t. yang memberi jaminan bahawa kita berada dalam zon selamat dan mendapat rahmat daripada-Nya. Kekuatan solat ini akan menentukan kualiti keislaman dan prestasi kecintaan kita kepada Allah serta mengukur pematuhan kita kepada syariat Islam. Kelemahan kita dalam menjaga kualiti solat akan menjerumuskan diri sebagai manusia yang rugi.
Justeru, betapa besar pengaruh solat terhadap kualiti keislaman ini, maka mimbar ingin mengingatkan bahawa solat adalah penanda aras kekuatan agama, akhlak, kunci pintu syurga dan amal yang paling mulia. Tertegaknya solat bermaksud tertegaklah agama, dan terabainya solat adalah meruntuhkan agama. Dengan demikian, kekuatan akar umbi kesungguhan melakukan solat bermula dari rumah. Umat Islam dan jemaah sekalian digalak memulakan amalan solat semasa berumur tujuh tahun. Apabila telah berumur sepuluh tahun, maka menjadi kewajipan ibu bapa atau penjaga menyuruhnya bersolat. Kalau ingkar mengerjakannya, maka diharuskan memukul sehingga perintah ini ditunaikan.

Firman Allah s.w.t. dalam surah Thahaa ayat 132: Maksudnya: “Dan perintahkanlah keluargamu serta umatmu mengerjakan solat, dan hendaklah engkau tekun bersabar menunaikannya. Kami tidak meminta rezeki kepadamu, Kamilah yang memberi rezeki kepadamu. Dan kesudahan yang baik adalah bagi orang yang bertakwa.”
Demikianlah tingginya kewajipan seorang muslim terhadap ibadah solat. Solat adalah amanah Allah s.w.t.. Sekiranya kita memelihara solat, nescaya kita sentiasa dipelihara oleh Allah, manakala jika kita mengabaikannya, maka kita tergolong orang yang rugi. Persoalan besar timbul ialah, apakah rahsia di sebalik perintah solat yang begitu kuat ini?. Antara lain, faedahnya ialah untuk kepentingan dan menjamin keselamatan umat manusia itu sendiri.
Mimbar ingin mengingatkan, bahawa melakukan dosa besar bukan sahaja kerana berzina, mencuri, minum arak, menderhakai ibu bapa, tetapi termasuk juga perbuatan mengabai atau meninggalkan solat yang amat dimurkai Allah s.w.t dan sangat dahsyat azabnya di dunia dan di akhirat kelak. Ini telah dijelaskan oleh Nabi s.a.w. dalam salah satu gambaran azab sewaktu peristiwa Israk dan Mikraj di mana orang yang meninggalkan solat memukul kepalanya sehingga hancur berulang-ulang kali. Selain itu, Allah s.w.t. akan mencampakkan golongan ini ke dalam neraka Saqar.
Untuk teks lengkap khutbah Jumaat bagi tarikh 24 april 2009 / 28 rabiul akhir 1430 Hijriah ini boleh lawati laman khutbah online JAKIM.



















said on April 24th, 2009 at 9:44 pm
Salam..
w/pn kita tau pasal azab & seksa org yg tinggalkan solat.. tpi ada gak segelintir dri kita yg masih mengabaikannya..
mudah²an kesibukan dunia x melekakan kita..
said on April 27th, 2009 at 1:36 am
@TSS : betul bro…lupa n terus lupa
said on July 17th, 2010 at 8:19 pm
itulah apabila solat 5 waktu kita jaga insyaAllah akhlak kita akan terjaga dan dilindunginya
artikel terkini dari mijie: Akhirnya streamyx tiba jua