Hippo and Croc Feeding at Paya Indah Wetland
January 10th, 2010 | 12:35 am | Fotografi, Nasional | 768 views | 1 response
Pagi tadi saya berkesempatan membawa budak-budak untuk melawat Paya Indah Wetland (PIW) yang terletak di daerah Kuala Langat, Selangor. Kawasan tersebut merupakan bekas lombong bijih timah yang beroperasi sekitar 1983 hingga 1997. Penubuhan utama PIW adalah bertujuan untuk memelihara dan melindungi hutan paya gambut dan lain-lain ekosistem tanah lembab.
PIW merupakan tanah lembab yang seluas 450.769 hektar, telah diwartakan pada 17 Februari 1998 sebagai tempat perlindungan ‘wetland’ di bawah Kanun Tanah Negara 1965. Pada asalnya PIW diuruskan oleh Malaysia Wetland Foundation, namun pada 1 Mac 2005 pengurusan kawasan tersebut telah diambil alih oleh Jabatan Perhilitan.
Kemasukan ke kawasan rekreasi ini adalah PERCUMA sahaja dan terdapat 3 zon utama yang disediakan iaitu Zon Rekreasi, Zon Pendidikan dan Zon Konservasi dan Penyelidikan. Apa yang saya suka tentang kawasan ini adalah pengunjung boleh membawa kereta terus ke kawasan lokasi yang ingin dituju tanpa perlu penat berjalan.
Setakat ini aktiviti yang popular di PIW adalah memberi makan badak sumbu dan buaya yang diadakan pada jam 10 dan 11 pagi setiap hari. Melalui aktiviti ini pengunjung boleh melihat dengan jelas dan secara dekat (jarak beberapa meter sahaja) proses memberi makan binatang tersebut dan pada masa yang sama boleh mengambil peluang untuk turut memberikan makanan kepada binatang tersebut.

Kali pertama masuk ke PIW, secara peribadi memang terasa kagum dengan keindahan alam dan suasana tenang dan nyaman disini. Jauh dari hiruk pikuk bunyi jentera dan mesin. Apa yang kedengaran di sini ialah suara-suara cengkerik dan burung-burung sahaja. Udara memang terasa sungguh ‘fresh’.

Aktiviti memberi makan badak sumbu dilakukan pada jam 10.00 pagi, walaupun tiba agak lewat namun kami masih sempat menyaksikan seorang petugas memberi makan kepada badak-badak yang ada disitu. sebiji betik ditelan tidak sampai 5 saat, begitu juga dengan sesikat pisang.
Pekerja tersebut juga memaklumkan 3 ekor badak sumbu yang ada di situ memakan 210kg rumput sehari dan selagi ada orang yang memberi makan, selagi itulah depa akan makan. dasat..

3 ekor Badak sumbu ini sebenarnya diimport dari negara Afrika, lupa la pulak negara mana, ditukarkan dengan Tapir Malaysia sebagai bahan pertukarannya. Berat ketiga-tiga badak ni lebih kurang 400 Tan.

Selesai aktiviti menyaksikan badak sumbu pengunjung boleh terus bergerak menggunakan kenderaan sendiri ke lokasi seterusnya di Tasik Buaya, buaya-buaya tersebut diberi makan pada jam 11.00 pagi setiap hari.

Pengunjung dinasihatkan supaya tidak menghulurkan tangan di atas pagar pemisah kerana buaya sebenarnya berkemampuan untuk melompat dan menyambar apa-apa yang berada dalam lingkungan 2 atau 3 meter dari tempatnya.

Seperti kebanyakan taman-taman haiwan yang sedia ada, buaya-buaya diberi makan ayam dan pengunjung boleh melihat bagaimana cepat dan rakusnya buaya menelan bangkai ayam.

Seekor daripada buaya yang sedang dalam keadaan siap sedia untuk menerkam makanannya, dan berdasarkan pemerhatian, memang sudah menjadi tabiat buaya kot suka berebut dan bertelagah bila ada makanan.

Papan penerangan dwi bahasa turut disediakan untuk menambahkan pengetahuan pengunjung mengenai buaya dan pada masa yang sama penerangan dari segi teknikal dan saintifik juga turut disediakan.

Bersebelahan dengan tasik buaya, terdapat pula sebuah tasik yang indah dipenuhi bunga teratai yang dinamakan tasik teratai, memang cantik dan sejuk mata melihat pemandangan tasik teratai ini.

Pemandangan dan persekitaran yang menarik dalam PIW memang mampu menarik perhatian pengunjung. Di samping itu PIW juga turut menyediakan kemudahan equestrian kepada pengunjung yang berminat. Saya dimaklumkan oleh petugas kaunter semasa pendaftaran yang bekas Perdana Menteri Tun Mahathir dan juga DYMM Yang Di Pertuan Agong akan mengunjungi PIW pada hari esok (Ahad) untuk sukan equestrian.
Secara keseluruhan bagi saya memang sesuai untuk merehatkan minda dan menghirup udara nyaman di kawasan PIW ini. Di samping itu PIW turut menyediakan 34 buah chalet yang sangat cantik ditepi tasik untuk penginapan keluarga. dan kepada kaki pancing juga, memang PIW menjanjikan pengalaman memancing yang menyeronokkan.
Kepada yang masih belum mengetahui lokasi sebenar PIW, jalannya mudah sahaja, kalau dari Putrajaya, pengunjung hanya perlu memandu ke pekan Dengkil dan ikut laluan ke pekan Banting, PIW terletak di sebelah kanan jalan laluan dari Dengkil ke Banting. Apa-apa pun, petunjuk jalan ke lokasi PIW amat mudah dan jelas sekali walaupun kepada mereka yang belum pernah sampai ke daerah Kuala Langat.



















said on May 31st, 2010 at 10:11 pm
best jugak tempat macam ni tapi yang paling penting usaha-usaha memelihara dan melindungi itu tempat-tempat seperti ini bersama penghuninya.
sebenarnya banyak tempat-tempat yang menarik di malaysia ini diabaikan dari segi ini(mengekalkan keadaan semulajadi).
apapun terima kasih di atas info yang menari kini.
artikel terkini dari sangilapi: rezeki semakin murah